Saya mengambil buku ini dari koleksi ayahanda Hj Shapiai. Tertarik dengan tajuknya yang membuat kita tertanya-tanya, siapa yang gila di dalam buku ini?
Karya Shaharom Husain (1966) ini berkisar dalam tahun 60-an. Mengisahkan Ramlan anak kepada Ramli Lawa yang pulang ke kampung halaman keluarganya yang baru di dusun Bukit Tempurung, Kampung Seri Kempas bagi menghabiskan cuti penggal persekolahannya. Kampung yang terletak berhampiran rumah sakit otak ini nyata memberi kejutan budaya kepada Ramlan kerana kehidupannya sekeluarga sebelum ini yang tinggal di bandar Stulang, berubah 100% apabila bapanya mengambil keputusan tinggal jauh dipedalaman atas desakan hidup di bandar. Kisah Ramlan diwarnai lagi dengan perkenalannya dengan Wak Mi'on yang banyak berfalsafah, Haji Tapah yang gila orkid, Dollah Tukang yang pandai bertukang, Cikgu Mat Bogel yang suka berpersatuan dan ramai lagi. Jalan cerita buku ini banyak menyentuh tentang keruntuhan nilai-nilai murni dan adat ketimuran yang melanda masyarakat akibat diserang arus permodenan dan peniruan gaya hidup yang condong kepada acuan barat. Sehingga berbagai penyakit gila mula wujud dalam kalangan masyarakat, gila pangkat, gila harta, gila perempuan dan sebagainya. Ironinya, ianya begitu relevan dengan keadaan masa kini yang melanda. Dalam pada itu turut diselitkan bagaimana gejolak jiwa remaja Ramlan untuk memahami perasaan cinta remajanya apabila mengenali dua gadis idamannya Buntat anak kepada Wak Mi'on dan Intan, anak Cikgu Mat Bogel.
Antara yang membuat kita tersenyum apabila membaca buku ini, bagaimana kisah sewaktu Sarjan Leman, orang kaya yang mengupah Ramlan dan Dollah Tukang untuk membina jalan ke dusunnya. Sarjan Leman memandu keretanya untuk mencuba jalan baru tersebut. Bagaimanapun, disebabkan permukaan tanah yang lembut, tayar kereta Sarjan Leman terbenam. Sedang mereka berputus asa kerana tidak dapat mengeluarkan tayar kereta dari lubangnya, datang seorang gila yang terlepas dari Rumah Sakit Otak. Spontan mereka menyebut "Orang gila terlepas". Dalam marah mempersoalkan siapa gila dan dirinya tidak gila, pesakit otak tersebut berjaya mengeluarkan tayar kereta yang terbenam tersebut berseorangan dengan menggunakan kepintarannya. Sedang Sarjan Leman, Ramlan dan Dollah Tukang masih terpinga-pinga. Ianya tak lebih sebagai teguran, kepada kita....supaya jangan senang mengata orang gila. Dalam gila ada kecerdikan. Tak semua orang suka dituduh gila...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan