-moz-user-select:none; -webkit-user-select:none; -khtml-user-select:none; -ms-user-select:none; user-select:none;

Sabtu, 4 Februari 2017

Jalan-jalan cari makan Restoran A Hassan Ayam Kampung

Restoran A Hassan Ayam Kampung terletak di RnR Kesas Awan Besar. Restoran ini sudah 3,4 bulan beroperasi semula selepas peristiwa kebakaran melibatkan beberapa premis di RnR Awan Besar tahun lalu. Dah nama pun Restoran Ayam Kampung, makanya menu istimewa dah tentu ayam kampung. Lagi satu yang saya suka di sini ialah Udang Galah. Biasa kalau datang di sini mesti ambil 5,6 ekor. 






Selain itu, berbagai pilihan lauk-pauk masakan kampung yang boleh pelanggan pilih di sini termasuk ulam-ulaman. Majoriti lebih kepada selera pantai timur. Budu pun ada... :) 


Waktu puncak, biasanya kena berdiri tunggu meja. Jadi kalau nak datang, dinasihatkan datang awal. Restoran A Hassan Ayam Kampung juga ada cawangan di Bandar Puchong Utama, Restoran Tuan Faridah 

Jika peminat ayam kampung dan masakan kampung bolehlah datang ke R&R Awan Besar dan makan di sini. Harganya masih masuk akal. Cuma bila nak ambil udang kena agak-agak. 





Ahad, 13 November 2016

BUKU: LEAVING MICROSOFT TO CHANGE THE WORLD (EDISI BAHASA MELAYU)


Buku ini mengisahkan John Wood, seorang yang mempunyai jawatan besar dalam Microsoft Asia, meletakkan jawatannya semata-mata untuk merealisasikan impiannya. Impian yang didapati sewaktu mengembara di Nepal. Membantu memajukan perpustakaan di negara tersebut dengan membina dan mendapatkan bahan bacaan untuk kanak-kanak di sana. Dikisahkan bagaimana John Wood menghadapai delima dalam membuat keputusan beliau untuk meninggalkan segala yang ada pada waktu tersebut termasuk gaji besar dan teman wanita, semata-mata ingin melibatkan diri dengan badan sukarelawan yang beliau sendiri tubuhkan dengan nama "Room to Read". Cabaran bagaimana beliau mengumpulkan buku-buku dan dana untuk menjayakan Room to Read yang kemudiannya berkembang ke Vietnam, Sri Lanka dan beberapa negara lagi.

Kisah perjalanan hidup John Wood ini amat memberi inspirasi, bagaimana sesuatu pengorbanan perlu dilakukan untuk berjaya. Dan bagaimana beliau tidak lagi menoleh ke belakang setelah keputusan dibuat. Walau ia sesuatu yang amat meletihkan baginya, tetapi disebabkan kerja amal tersebut adalah sesuatu yang amat disukai, menjadikan beliau dapat melaluinya walau dalam keadaan sukar. Sebuah buku yang menarik dan amat diunjurkan untuk dibaca oleh semua.

USIA


Saat pendaki usia
Hampir ke puncak
pergunungan tahun
Kelompok awan menegur
Mengingatkan
Pinjaman masa di dunia ini
semakin hampir
Tiba di puncak perhentian

Entah bila
Nyawa yang dipinjam itu
Akan dikembalikan
Kepada
Yang Maha Mencipta
Itu semua,
masih satu persoalan
Di Luh Mahfuz
ia tersemat tersimpan
Moga diri
tidak tertipu
dek bertambahnya
Suatu angka
Yang bernama usia

Nukilan : Saiful Shapiai.

Sinar Harian (12.11.2016)

Jumaat, 7 Oktober 2016

"Posting"

Untuk tujuan apa
Kita posting di media sosial?
Tunjuk kepada dunia
"Akulah yang paling bahagia!"
Sedang itu bukan kisah sebenarnya
Beritahu satu dunia
"Akulah yang paling gembira!"
Meminta simpati satu dunia
"Doakan daku! Aku dirundung malang!"
Sedang kita meng'tag' lokasi mewah kita,
Mempamer 'harta' kita...
"Akulah yang paling bijak 
dalam menutur pendapat!"
"Sila LIKE!"
Ah, persetan itu semua
Husnuzon sepatutnya
Mungkin mereka ingin 
berkongsi kisah gembira.
Mungkin memang memerlukan 
doa sahabat handai.
Mungkin memang ikhlas 
dalam memberi pendapat.


Ruvena Villa, Putra Perdana
Oktober 2016

Isnin, 5 September 2016

Pening

Akhir-akhir ini kita pening,
Bila si bodoh mengatakan 
Si pandai itu yang bodoh
Si pesalah menuduh
yang benar itu pesalah
Si pandir angkuh mengatakan
Si Fulan yang pandir
Sang pendosa,
Buat-buat tak tahu berdosa

Tapi yang ini dah biasa...
Orang gila,
tak mengaku gila

Rabu, 31 Ogos 2016

JALAN-JALAN CARI MAKAN MELAKA (PERCUTIAN PENDEK)

Hujung minggu (28.8.2016) ke Melaka jalan-jalan cari makan. Lepas zuhur bergerak dari Puchong, tiba di Melaka dalam jam 4 petang. Telah tempah penginapan di Klebang Beach Resort. Tetapi kami tak check in hotel dahulu kerana nak terus ke lokasi makan-makan pertama, di Batu Berendam, Melaka.



COCONUT SHAKE, BATU BERENDAM



Lokasi jalan-jalan cari makan pertama kami ialah Coconut Shake Batu Berendam. Kedainya bersebelahan kedai Yong Tau Fu Batu Berendam. Kedai ni nampak agak ramai pengunjung. Tetapi, masih boleh cari tempat untuk duduk. Untuk menu di sini, selain Coconut Shake, boleh order minuman lain, seperti teh tarik, teh o ais dan sebagainya. Untuk makan, ada mee rebus singapore, rojak, nasi lemak dan ada nampak kuih muih untuk minum petang.


Saya order Coconut Shake Special. Apa beza special dengan yang tak special? Yang special letak ais krim, tak special takdelah aiskrim. (",) Kemudian pi beli rojak....harga di sini okla...air kalau dah habis boleh tambah. 


Lokasi seterusnya, Kuih Keria Antarabangsa Hj Jalil, di Limbongan. Tak jauh dari Batu Berendam dan lokasi kedainya terletak bersebelahan Masjid Al-Ehsan, Kg Limbungan, Jalan Klebang.
KUIH KERIA ANTARABANGSA HJ JALIL
Sampai saja kat sini, terperanjat tengok barisan dia. Nak rasa kuih keria saja, kena beratur sejam...hahaha... Kat sini selain kuih keria ada macam-macam kuih & ada Laksa Penang Limbongan. Pengunjung samada boleh makan di sini atau bungkus. Satu nasihat, kalau nak order banyak-banyak macam lebih dari 40 biji kuih keria, baik telefon dahulu untuk tempahan.


MEDAN IKAN BAKAR SG DUYONG, MELAKA

Malamnya, kami makan di Medan Ikan Bakar Sg Duyong. Google je lokasi, insya Allah ada.... makanan yang ada? Seafood of course! Berbaloi-baloi, insya Allah...Harga kami makan untuk 5 orang malam tu dalam RM237. Kami order Jenahak bakar, Siakap 3 rasa, Pepahat masak cili padi (1 kilo), udang goreng butter, sotong goreng tepung, air fresh orange dan air tebu, tambah secawan teh o dan teh panas. 

Habis untuk trip hari pertama, jalan-jalan cari makan. Esok, ada lagi destinasi lain






ROTI KAYU ARANG, BACHANG MELAKA
Esok pagi, selepas sarapan ringan-ringan di hotel, kami ke kedai Roti Canai Kayu Arang, Bachang, Melaka. Kelainannya, roti canai di sini dimasak atas dapur kayu arang. Bila sampai, macam biasa kena tunggu turn. Takpe, sabar....



Bila dapat tempat duduk, kami hanya pesan roti kosong dan air minuman masing-masing. Untuk makluman, selain roti canai yang pelbagai, pengunjung boleh makan nasi lemak, otak-otak dan ada franchais ayam goreng. Boleh tengok senarai makanan kat gambar atas. Kena banyak bersabar lepas order. Tapi, insya Allah rasa roti canainya memang tak mengecewakan. (",)








ASAM PEDAS SELERA KAMPUNG
Selepas pekena roti canai kayu arang, kami jalan-jalan dahulu di kawasan Bandar Hilir Melaka dan Jonker Street. "Cuci-cuci mata" sambil tunggu hadam sementara ke kedai makan seterusnya. Kedai makan seterusnya tak jauh dari Bandar Hilir Melaka dan sebelah Pahlawan Walk. Namanya Asam Pedas Selera Kampung. Pertama kali datang masa re-union geng UTM Skudai dahulu. Kali ini datang dengan group lain.

Semasa sampai, terpaksa berebut tempat lagi dengan pengunjung lain. Bila dah dapat, kami pesan Asam Pedas Ikan Pari, Asam Pedas Ikan Parang, ikan keli goreng, daging salai masak lemak dan ulam-ulaman. Nak pekena asam pedas ikan merah dan asam pedas kepala ikan, dah tak dapat. Rasa memang masih tak mengecewakan. Terbaik!... udang galah pun ada, tapi kali ini tak ambil sebab harga. :) Sebelum balik, sempat  bungkus lauk asam pedas untuk di bawa balik ke Puchong.


Ahad, 15 Mei 2016

Hobiku suatu ketika dahulu


Topik santai untuk kali ini, ingin menceritakan hobiku suatu masa dahulu...Semasa dibangku persekolahan, aku dan adik beradikku mempunyai hobi mengumpul komik-komik dari Hong Kong  dan manga terjemahan Bahasa Melayu. Kami bergilir untuk membeli beberapa judul komik seperti Juara Wira, Alam Perwira, Raja Rimba, Pedang Setiawan, One Piece, Mutiara Naga dan beberapa lagi yang menjadi koleksi kami.

Antara koleksi terbaik yang aku miliki adalah komik Pendekar Laut Generasi 1 hingga 3. (Selain membeli komik Raja Rimba dan Pedang Setiawan). Ia mengisahkan seorang pemuda bernama Pai Cheung Lang yang pada asalnya berjuang menentang Sindiket Blue Dream dengan menggunakan identiti samaran sebagai Pendekar Laut.

Plot penceritaan yang menarik dengan pertembungan jaguh-jaguh hebat di dalam komik ini seperti Pendekar Laut, Orga, Jerung Raksasa, Penjejak Neraka dan beberapa lagi. Plot berubah secara drastik apabila Pendekar Laut berkahwin dengan Hitomi (adik Blue Dream dan Orga), seterusnya mempunyai dua orang anak, Zonan dan Xinan yang meneruskan legasi ayahnya hinggalah ke generasi ketiga dengan munculnya pula anak-anak mereka Zogun, Xiten dan Xibo. Cerita ini tamat dengan berakhirnya pertarungan sengit dua beradik Zonan dan Xinan.

Frasa kegilaan atau 'trademark' pembaca komik ini ialah "Belang Tarung", Kuasa Tolakan Elektron, Kuasa Putaran Medan Elektrik, Kuasa Tahap Kesempurnaan, Juara Tempur dan beberapa lagi terma-terma glamour yang wujud dalam komik ini.

Asalnya, mengumpul komik versi biasa terbitan setiap minggu (yang berharga RM3.00 untuk setiap episod). Kemudian, ia diterbitkan dalam bentuk edisi jilid  yang telah ku beli kemudiannya dengan setiap generasi mempunya 12 jilid.